W3C | Feedback | Site Map | FAQs | Support   redgreenblue  Facebook Youtube Twitter 

s


Jitra - Lebih 400 pelajar Tingkatan 5 dan 6 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jitra dekat sini memperoleh manfaat daripada program Promosi Jom Masuk UUM yang julung-julung kalinya diadakan di sekolah ini.

 

Program anjuran UUM dengan kerjasama Panitia Tingkatan 6 Daerah Kubang Pasu dan Biro Pendidikan dan Pengajian Tinggi UMNO Bahagian Kubang Pasu ini bertujuan memberi maklumat dengan lebih berkesan kepada pelajar-pelajar yang berpotensi untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

 

Perasmian program ini disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan merangkap Ahli Parlimen Kubang Pasu, Yang Berhormat Dato? Sri Mohd Johari Baharom yang diwakili Setiausaha Akhbarnya, Dr Nik Yahya Ab. Rahman.
 
Beliau yang membaca teks ucapan Yang Berhormat Dato? Sri Mohd Johari Baharom berkata para pelajar perlu bersyukur kerana berada di salah sebuah sekolah harian yang terbaik di Malaysia.
 
"Saya juga berasa bangga kerana menjadi Ahli Parlimen di daerah Kubang Pasu ini yang merupakan hab pendidikan bagi negeri Kedah dan merupakan antara daerah terbaik dalam bidang pendidikan di Malaysia.
 
"Justeru saya berharap pelajar dapat memanfaatkan peluang daripada program yang dianjurkan ini untuk mendapatkan maklumat yang tepat dalam memilih program dan institusi untuk melanjutkan pengajian berdasarkan pencapaian keputusan peperiksaan nanti.
 
"Di samping itu, program ini juga memberi peluang kepada Guru-guru Kaunseling mendapatkan maklumat yang tepat dan jelas untuk disalurkan kepada pelajar," ujarnya.
 
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada UUM yang sanggup meluangkan masa turun padang menyampaikan maklumat dengan lebih berkesan dan menyeluruh kepada masyarakat setempat khasnya pelajar-pelajar yang berpotensi untuk melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi.
 
Sementara itu Ketua Penolong Pendaftar, Jabatan Hal Ehwal Akademik UUM, En Shahidan Shafie berkata program Jom Masuk UUM merupakan sebahagian daripada program promosi dan outreach sebagai kesinambungan kepada usaha Kementerian Pendidikan Tinggi menganjurkan Karnival Pendidikan Tinggi Negara 2017 di enam (6) zon terpilih.
 
"Program Jom Masuk UUM ini merupakan platform untuk mendapatkan informasi yang tepat dan seterusnya memilih UUM, Universiti Pengurusan Terkemuka sebagai destinasi untuk melanjutkan pengajian demi mengejar cita-cita dan mencorakkan masa depan masing-masing."
 
Jelasnya Sebagai Universiti Awam yang ke-6 di Malaysia, UUM menawarkan program-program yang kompetitif seperti Perakaunan dan Undang-undang.
 
"Misalnya UUM hanya mengambil 170 mahasiswa bagi program Perakaunan pada kemasukan tahun lalu. Daripada jumlah itu 147 pelajar merupakan pelajar yang mempunyai CGPA 4.0, selebihnya iaitu 23 lagi pelajar kita turunkan markah CGPA sehingga 3.75.
 
"Bagi program Undang-Undang pula, UUM hanya mengambil kira-kira 100 orang pelajar. Lebih daripada 50 pelajar mendapat CGPA 4.0, selebihnya mendapat CGPA minimum 3.8  dan MUET haruslah sekurang-kurangnya ?band 4?.
 
"Sehubungan itu saya ingin berpesan kepada para pelajar supaya gunakan peluang ini sebaiknya untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan jelas agar tidak tersalah membuat pilihan ketika memohon untuk memasuki institusi pendidikan tinggi," katanya.
 
Seorang pelajar Tingkatan 5 yang ditemui, Muhammad Aqil Rashdi Shah berkata beliau hadir ke program itu untuk mendapat maklumat lanjut mengenai program-program yang ditawarkan UUM.
 
"Saya memang sedang mencari universiti mana yang sesuai dengan minat saya. Program sebegini sedikit sebanyak memberi pendedahan kepada saya mengenai program-program yang ditawarkan UUM," ujarnya yang mempunyai minat dalam bidang kejuruteraan mekanikal serta perniagaan.
 
Pandangannya itu turut disokong rakannya Muhammad Yusri Amran yang menyifatkan program itu baik dan dapat menentukan hala tuju yang boleh diambil pelajar selepas peperiksaan SPM dan STPM.
   
Antara pengisian program ini ialah Taklimat Syarat-syarat Kemasukan ke UUM dan Taklimat Pemilihan Program Peringkat UPU oleh Dr Jefri Hussin, Booth Pameran Akademik dan sesi bersama selebriti, Pekin Ibrahim dan Amir (AF2016).
 
Hadir sama Tuan Haji Mohamad Abdul Rahim, Pegawai Pendidikan Daerah Kubang Pasu;  En. Zulfitri Yaacob, Setiausaha Sulit Timbalan Menteri Pertahanan; En. Zainol Abidin Mohamad, Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Kubang Pasu merangkap Pengerusi PIBG SMK Jitra; En. Rushadan Abdul Aziz, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Jitra merangkap Pengerusi Panitia Tingkatan 6 Daerah Kubang Pasu, pegawai-pegawai UUM dan guru-guru SMK Jitra.