PERTANDINGAN VIDEO PENDEK #MyDuitStory

Assalammualaikum dan Salam sejahtera YBhg. Dato’/Dr./Tuan/Puan,

Dengan segala hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas.

2.    Sukacita dimaklumkan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menganjurkan pertandingan video pendek #MyDuitStory yang menyokong pelaksanaan Strategi Utama 3 (SU3) dalam Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan, 2019-2023. Pertandingan yang disasarkan kepada penuntut-penuntut universiti awam dan swasta ini adalah seiring dengan SU3 dalam menyemai tingkah laku positif di kalangan kumpulan sasar.

3.    Tujuan pertandingan ini diadakan adalah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) tentang kepentingan pendidikan kewangan. Di samping itu, mereka juga dapat menimba ilmu pengetahuan dan kemahiran literasi kewangan sebelum menempuh alam pekerjaan. Hasil mesyuarat di antara pihak Unit Pembangunan Insan (UPI), Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar (BPPD), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) selaku Sekretariat Induk Financial Education Network (FEN) Peringkat KPT dengan pihak BNM pada 12 Oktober 2020, beberapa keputusan mesyuarat telah dipersetujui seperti berikut:

  1. Pertandingan ini dibuka kepada penuntut-penuntut di 20 universiti awam dan 51 universiti swasta peringkat Sarjana Muda;
  2. Tempoh pertandingan ini adalah selama 1.5 bulan (bermula daripada Disember 2020 sehingga 21 Februari 2021); dan
  3. Majlis Penyampaian Hadiah dirancang untuk dijalankan pada Mac 2021.

4.    Sehubungan dengan itu, bagi menjayakan pelaksanaan pertandingan ini, UKK memohon kerjasama YBhg. Dato’/Dr./Tuan/Puan bagi mempromosikan e-Poster pertandingan ini seperti di lampiran kepada semua pelajar Universiti Awam dan swasta di bawah seliaan YBhg. Dato’/Dr./Tuan/Puan.

Segala perhatian dan kerjasama yang diberikan oleh pihak puan berhubung perkara ini didahului dengan ucapan terima kasih.